Apabila menyentuh soal kewangan, ramai di antara kita mengakui sukar untuk menguruskannya secara bijak. Lebih buruk lagi, ada juga di antara kita yang langsung tidak pernah memperdulikan soal pengurusan kewangan.Akibat kealpaan ini, pelbagai masalah kewangan timbul secara mendadak yang akhirnya menimbulkan beban kepada diri sendiri.
7 Kesilapan Menguruskan Kewangan.
1.Gagal Merancang.
Sibuk menguruskan kerjaya dan rumahtangga.Inilah salah satu alsan yang sering dilontarkan jika ditanya mengapa tidak merancang kewangan.Sikap sebegini merupakan penyebab kedudukan kewangan anda sering terjejas. Tanpa perancangan, anda pasti akan berbelanja melebihi keperluan. Malahan, sikap sebegini juga akan menyukarkan anda untuk mengesan lebihan perbelanjaan secara tidak sedar.
2.Berbelanja Melebihi Keperluan
Terpengaruh dengan persekitaran menyebabkan anda sukar untuk membezakan antara keperluan atau kehendak. Ditambah lagi dengan corak hidup mewah yang diamalkan seperti bergaya dengan telefon bimbit model terkini serta mengikut perkembangan fesyen terkini, pasti merumitkan lagi keadaan.Ramai yang sanggup berhabisan asalkan tidak mahi dianggap ketinggalan zaman.Akibatnya, diri sendiri yang menanggung beban hutang yang tinggi.
3.Sering Menggunakan Kad Kredit
Beli dahulu dan bayar kemudian merupakam tabiat yang sering dilakukan kini.Memiliki satu kad kredit mungkin merupakan perkara biasa, namun ramai di antara kita yang menyalahgunakan kemudahan ini.KIta berbelanja dan terus berbelanja kerana beranggapan mampu untuk menjelaskan hutang tersebut.Namun jika ditambahkan dengan kadar faedah yang dikenakan, anda mungkin tidak mampu melangsaikannya dalam masa yang ditetapkan.Akhirnya anda boleh diistytiharkan muflis.
4.Tiada Tabungan Hari Tua.
Sikap bergantung kepada wang persaraan atau KWSP menyebabkan kita tidak menabung untuk hari tua.Setiap kali kenaikan gaji, kita hanya akan memikirkan soal ubahsuai rumah, membeli kereta baru dan sebagainya sehingga mengabaikan tabungan. Apabila tiba masa persaraan, barulah kita mulai risau dan menyesal kerana simpanan tidak mengcukupi bagi menampung kehidupan selepas bersara.
5.Melabur Di Tempat Yang Tidak sesuai.
Melihat ramai yang berjaya mengumpul kekayaan menerusi pelaburan menyebabkan anda juga ingin melabur.Namun, sikap terburu-buru dan tidak memahami selok-belok pelaburan mengakibatkan duit yang anda laburkan hilang begitu sahaja.Justeru, pastikan anda meneliti dan mengkaji secara mendalam sesuatu bentuk pelaburan dan organisasinya sbelum melabur.
6.Tiada Simpanan Waktu Kecemasan.
Sesetengah individu menganggap insuran sebagai satu pembaziran tetapi, dengan adanya insuran ianya mungkin dapat membantu anda jika berdepan dengan kemalangan mahupun bencana.Tanpa simpanan ataupun insurans, anda dan keluarga pasti sukar meneruskan kehidupan jika hilang pendapatan atau ditimpa musibah.Jika tidak mampu membeli insurans, pastikan simpanan dibuat pada setiap bulan.
7.Terlalu Taksub Mengumpul Duit.
Tiada gunanya memiliki wang yang banyak jika anda sakit dan kehilangan perkara berharga dalam hidup anda. Biarpun ingin mengumpul kekayaan, jangan terlalu taksub hinggakan mengabaikan keluarga, kesihatan, kepuasan dalam hidup dan rakan-rakan.Tanpa perkara ini, hidup tidak bererti biarpun dilimpahi wang jutaan ringgit.
Oleh : Nurul Huda Zulkifli
Majalah Harmoni (Oktober '09)